fatamorgana kehidupan

Kehidupan akan menjadi bererti bila manusia tahu apa erti kehidupan. Kehidupan hanyalah satu fatamorgana bila manusia sudah tidak ambil peduli erti kehidupan. Kehidupan hakiki adalah perkara yang manusia harapkan, tapi kenapa kehidupan fatamorgana yang lebih manusia impikan?

الأربعاء، أغسطس 02، 2006

FATAMORGANA tiga

Ujian-ujian yang menimpa diri kadangkala membuatkan aku lupa pada Maha Pencipta. Membuatkan aku rindu pada satu kuasa yang dinamakan makhluk. Membuatkan aku terbuai dengan fatamorgana manusia.

Aku merindui...ibarat Adam merindui Hawa dan ibarat Muhammad merindui Khadijahnya... Adakah maha pencipta itu zalim, menyiksa jiwa ku sehingga aku lupa pada keesaanNya. Betapa terujinya aku....

Aku yakin dan percaya, tiada kasih sayang yang dapat menandingi kasihNya. Tiada kasih yang lebih abadi daripada kasihNya. Tapi, bilakah masanya aku akan bertemu denganNya? Bilakah masa aku akan berjumpa dan meluahkan rasa rinduku padaNya? Layakkah aku untuk meluahkan kerinduan yang terbuku dalam dadaku ini padaNya? Mahukah Dia menerima aku? Mahukah dia memandang aku yang hina ini? Bersediakah aku untuk berjumpa denganNya? Cukupkah azimat yang bakal kubawa?

Kerinduan yang hakiki ini membuatkan aku menjadi cuai. Menjadi semakin lupa padaNya dan mengharapkan datangnya manusia untuk mengganti kasih sayangNya. Wajarkah aku menukar ganti kasihNya dengan kasih seorang manusia? Wajarkah aku untuk meluahkan rasa hati ini pada seorang manusia sedangkan yang lebih layak adalah Dia? Wajarkah aku mengharapkan seorang manusia memahami apa yang terbuku dalam hati ini sedangkan yang lebih layak adalah Dia. Aku tersepit...antara fatamorgana dan hakiki.

Betapa tebalnya kerinduan dalam hati ini terhadapNya. Ingin sekali aku bersegera untuk bertemu denganNya. Tapi aku khuatir apa yang aku usahakan disini tak dapat memenuhi tuntutanNya. Layakkah aku memanggilNya kekasih jika kehendakNya tak dapat aku turuti? Layakkah aku mengharapkan balasan kasihNya sedangkan Dia selalu aku belakangi.

Hanya dia yang lebih mengerti apa yang terbuku dalam hati ini.....

الثلاثاء، يوليو 25، 2006

FATAMORGANA dua

Tersepit!! Aku tersepit!! Tersepit antara keegoan dan keikhlasan. Tersepit antara tanggungjawab dan kredibiliti. Mana satu yang perlu didahulukan? Yang mana satu kepentingan??

Tanggungjawab....seringkali, kita terlupa apa itu tanggungjawab. Satu perkara yang berat,tidak semua orang sanggup mengambil risikonya. Seberat-berat tanggungjawab yang dijanjikan pada manusia, lebih berat tanggungjawab yang telah dijanjikan pada Maha Pencipta. Kerana manisnya mulut berjanji untuk memikul tanggungjawab itu, Maha Pencipta berikan segala kemudahan atau peralatan untuk menjalankan tanggungjawab itu. Pendengaran,penglihatan dan hati...jentera yang paling berharga yang telah Dia bekalkan untuk manusia menjalankan tanggungjawab yang telah dijanjikan. Tapi, semakin hari, semakin berat tanggungjawab yang perlu dipikul oleh 3 jentera. Mendengar kepincangan yang dilakukan manusia, melihat kemusnahan yang semakin berleluasa dan memahami sebab dan akibat kepincangan dan kemusnahan membuatkan aku makin tersepit. Tersepit dalam merealisasikan tangungjawab untuk menegakkan kebenaran. Tersepit kerana terasa diri terlalu lemah untuk terus menegakkan kebenaran dan keadilan.

Fatamorgana yang semakin menghantui manusia, membuatkan manusia lupa dengan janji-janji pada Maha Pencipta. Melupakan ikrar padaNya. Fatamorgana yang semakin mengaburi kebenaran. Mengaburi tujuan asal penciptaan manusia. Aku yang telah disedarkan dari lamunan dan khayalan yang panjang cuba memadam fatamorgana yang menghantui jiwa manusia. Aku tidak mahu mereka sesal di kemudian hari. Hanya ini sahaja peluang yang aku ada untuk menyelesaikan tanggungjawabku, hanya peluang ini sahaja yang diberikan padaku untuk membantu manusia lain disekelilingku. Tapi kenapa?? Kenapa kebenaran yang aku bawa pada mereka ini amat ditakuti oleh mereka. Mengapa mereka menjauhi kebenaran ini?? Adakah mereka yang bersalah atau ini ujian atas keegoanku selama ini. Aku pasrah, harapanku hanyalah untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang telah dipikulkan ke bahuku. Tapi kehadiranku di sini umpama melukut yang menumpang di tepi gantang. Adakah aku lakukan semua ini untuk mempertahankan kredibilitiku? Aku cuba sedaya upaya, biarlah tarafku jatuh serendah hamba sekalipun, tapi, aku sendiri tak mengerti mengapa ini keputusan akhirnya? Mengapa ini semua yang perlu aku hadapi? Tidak kupinta ini semua terjadi, tapi inilah hakikat ujian yang perlu aku tempuhi.

Fatamorganaku, apa yang bakal berlaku terlalu mudah. Hakikatnya, perjalanan ini terlalu sukar dirasai. Semakin hari, semakin getir ujian yang perlu aku hadapi. Tak tercetus dilidah ini untuk menceritakan penderitaan yang aku hadapi. Tak terpalit dihati ini untuk berkongsi keperitan yang kulalui. Semua ini ujian dari Ilahi. Ujian untuk membuktikan keimanan yang sejati. Bukankah manusia itu tidak akan dibiarkan untuk berkata "aku telah beriman" sedangkan dia belum diuji?

Aku mengharapkan perjalananku umpama fatamorgana yang selalu aku impikan. Tapi semua itu hanyalah fatamorgana. Hakikatnya, semakin jauh perjalanan, semakin luas jurang yang perlu dilepasi. Semakin sesak nafas ini, semakin sempit pemikiran. Jangan sampai aku kecundang di tengah jalan....aku mengaharapkan perlindungan.....

الأربعاء، يوليو 19، 2006

FATAMORGANA satu

Hari demi hari berlalu. Jiwa makin meronta. Meronta dalam pergolakan diri. Diri yang cuba mengenali erti kehidupan. Makin panjang tempoh masa kehidupan, makin banyak omongan indah tentangnya. Sedangkan, itukah hakikat kehidupan? Adakah kehidupan ini diciptakan hanya untuk keseronokkan? Atau kehidupan ini hanyalah satu perjalanan?

Persoalan demi persoalan timbul di benak dan bermain-main difikiran. Yang pasti fatamorgana kehidupan yang makin jelas pada pandangan. Hakikat kehidupan makin kabur, makin jauh pengertiannya pada diri. Kehidupan fatamorgana ini hanya sekali, tiada kali kedua atau ketiga. Tetapi mengapa Maha Pencipta memberikan peluang yang sekali ini kepada manusia? Adakah untuk bersenang lenang, umpama percutian di pulau yang indah, atau ada mesej lain yang lebih penting yang cuba Dia sampaikan?

Menelusuri hakikat kehidupan, tiada yang indah dalam kehidupan fatamorgana ini. Kehidupan yang terindah adalah kehidupan yang hakiki, kehidupan yang abadi. Di saat diri mengadap semula Maha Pencipta dan menerima hasil daripada usaha dalam kehidupan fatamorgana ini. Kehidupan yang sering diuji, kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri. Ujian yang membuktikan kemahuan pada yang Esa, ujian yang menampakkan betapa kerdilnya diri disisiNya. Tapi, hingga ke saat ini, apakah pandangan Dia pada diri ini? Adakah kesenangan dan kemudahan yang dihadapi sekarang adalah tanda redhaNya? Atau semua itu hanyalah fatamorgana, yang hakikatnya adalah ujian yang makin menimpa-nimpa.

Semakin hari, semakin kerdil terasa diri ini. Adakah hati ini akan terus cekal menghadapi segala ujian yang mendatang, atau adakah diri akan tumpas di tengah jalan?